KATA ALUAN

1. Kata Aluan Pengerusi KOHM

Assalamualaikum dan Salam Konservasi.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinnya dapat kita merealisasikan impian kita bersama untuk menubuhkan Kelab Orang Hutan Malaysia dalam usaha untuk mengumpul penggiat - penggiat aktiviti rekreasi luar di atas satu platform berasaskan konsep sukarelawan.

Di dalam menyelusuri kesibukan hidup, alam semulajadi menyediakan ruang untuk kita beriadah melakukan aktiviti bagi mengurangkan tekanan hidup. Pengalaman berada di puncak-puncak gunung sambil menghirup teh o panas, melihat matahari terbit mahupun terbenam, menghayati permandangan indah sambil menyentuh awan atau membiarkan diri dibakar hangat mentari setelah kesejukan berendam di jeram sambil menunggu kail disambar, serta tenggelam dalam hiruk pikuk riang-riang dan unggas-unggas di belantara sambil memicit pacat yang kekenyangan di kaki adalah satu memori yang ingin kita kongsi bersama rakan-rakan dan yang tersayang.

Namun begitu kadang-kadang saat yang terindah itu dicemari dengan permandangan yang kurang enak hasil dari sikap penggiat rekreasi luar yang tidak bertanggungjawab. Menghirup teh o di tepi longgokan sampah di puncak gunung, berehat di sebelah lampin pakai buang setelah kesejukan berendam di jeram, serta bertepuk tampar dengan nyamuk sewaktu memicit pacat di kaki.

Sebagai penggiat rekreasi luar yang kini menjadi ahli OHM, kita terpanggil untuk melaksanakan misi utama kita iaitu JUNGLE CLEANUP , saat sama-sama kita meluangkan masa untuk membersihkan kawasan rekreasi yang kita lawati agar aktiviti tersebut menjadi contoh kepada penggiat rekreasi yang lain untuk turut serta menjaga kebersihan kawasan rekreasi untuk kita, orang lain dan biodiversiti yang ada di sekeliling kita.

Dalam zaman dunia tanpa sempadan kini, segala maklumat boleh kita kongsi melalui jaringan sesawang. Justeru dengan itu OHM menyediakan platform kepada mereka yang gemar berkarya, menulis journal, mengambil foto dan berkongsi manual rekreasi di www.oranghutanmalaya.com. Dalam usaha merapatkan lagi hubungan ahli, Facebook (Closed Group) KELAB ORANG HUTAN MALAYSIA  dibuka untuk ahli berkomunikasi sesama mereka.

Bagi mereka yang berkepakaran dan berpengalaman luas dalam bidang rekreasi luar ini, platform ini juga dibuka untuk kita beramal dan berkongsi semua yang kita ada dalam bidang rekreasi iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran, peralatan, latihan, modul dan idea untuk membantu penggiat rekreasi yang lain. Jaringan dengan persatuan rekreasi lain amat dialu-alukan selagi ia memberi manfaaf serta situasi menang-menang kepada semua tanpa menindas dan memperlekeh persatuan lain.

Bertemakan CONSERVE NATURE THROUGH ADVENTURE, jelas menggerakkan kita beberapa langkah ke hadapan dalam bidang rekreasi kerana menitik beratkan konservasi biodiversiti dalam aktiviti rekreasi yang kita jalankan. Penerapan modal insan ini dalam ahli kelab diharap dapat menjadikan kita khalifah yang bertanggungjawab di atas muka bumi ini. Semoga ahli kelab menjadi contoh dan ikutan setelah segala usaha mengubah konsep pemikiran bahawa aktiviti rekreasi ini hanya untuk keseronokan kepada konsep yang lebih luas dan menguntungkan.

akhir kata saya tinggalkan sesuatu untuk sama-sama kita fikirkan, wassalam.....

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumiitu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui" - Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 30

"Untuk melihat pemimpin masa depan, lihatkan anak muda masa kini" - Imam Ghazali

The greatness of a nation and its moral progress can be judged by the way its animals are treated” - Mahatma Gandhi

Rusmankhairul,
Pengerusi,
Kelab Orang Hutan Malaysia
mangreen@oranghutanmalaya.com

----------------------------------------------------------------------------------------------------------


2. Kata Aluan Timbalan Pengerusi KOHM

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kelab Orang Hutan Malaysia (OHM) ini lahir atas kesedaran bahawa ramai orang seperti kita yang sukakan alam semula jadi, tidak kira darat, laut atau udara, dan begitu berminat untuk menjalankan aktiviti yang berkaitan dengannya seperti berkhemah, jungle treking, mandi sungai, panjat gunung, menyelam scuba, memancing dan sebagainya tetapi tidak ada platform yang sesuai untuk melakukannya. Ia juga lahir atas kesedaran bahawa kita mempunyai tanggung jawab untuk memastikan tempat aktiviti ini dijalankan, tidak tercemar dengan kotoran yang dibuat oleh manusia sendiri. Beberapa orang dari ahli kita yang mempunyai pengetahuan dan pakar dalam selok belok hutan telah dengan sukarelanya berusaha untuk mewujudkan satu kelab untuk tujuan itu. Maka lahirlah Kelab Orang Hutan Malaysia.

Tetapi, harus kita ingat bahawa, tidak ada satu kelab atau pertubuhan pun yang boleh kekal aktif sekiranya tiada sokongan yang berterusan daripada ahlinya. Lagi ramai ahli yang menyokong, maka lagi kukuhlah sesuatu kelab itu. Jadi, tugas utama kita ialah untuk memastikan seberapa ramai ahli yang boleh. Tidak sekadar menjadi ahli biasa tapi ahli yang mempunyai cukup KOMITMEN untuk melihat segala aktiviti yang dirancang berjaya. Komitmen dalam konteks ini bermakna sanggup menyumbang masa dan tenaga dengan sukarela, memberi idea atau cadangan yang positif dan membina, tidak membuat komen yang negatif dan melemahkan semangat ahli lain dan mahu melakukan apa jua yang perlu dan terdaya untuk menjayakan sebarang aktiviti.

Tok Wan pasti bahawa mereka yang mendaftar diri menjadi ahli Kelab OHM adalah dari golongan yang baik baik belaka. Bukan kaki dadah, mat rempit, kaki judi atau kaki botol, kerana golongan ini tiada masa atau berminat untuk melakukan aktiviti seperti yang dijalankan oleh Kelab OHM. Tok Wan yakin dengan sokongan dari semua ahli, Kelab OHM akan berjaya mencapai misi dan visi ya.

Akhir kata, "JANGAN LAH KITA TANYA APA YANG KELAB BOLEH BUAT UNTUK KITA TETAPI TANYALAH APA YANG KITA BOLEH SUMBANGKAN UNTUK KELAB."

Sekian.

Tok Wan
Timbalan Pengerusi
Kelab Orang Hutan Malaysia
tokwan@oranghutanmalaya.com